Kebiasaannya, apabila aku selesai membaca buku yang agak berat isi kandungannya, aku akan susuli dengan bacaan baru dari buku yang agak ringan isi kandungannya. Dalam hal ini, aku selalu mencari karya-karya Abdul Latip Talib. Ini kerana, beliau menyajikan sebuah karya yang santai namun berlatar-belakangkan kisah benar malahan bermanfaat pula untuk ditelaah. Karya beliau banyak berkisar kepada tokoh-tokoh penting dalam sejarah Islam. Sesuai dibaca oleh semua peringkat umur.
Berkenaan dengan ulasan buku ini, nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Beliau dikenali dengan nama Syafie sempena mengambil nama datuknya yang dikatakan mirip kepada rupanya. Wajah datuknya pula dikatakan mirip kepada wajah Nabi Muhammah SAW.
Sejak dari kecil lagi sudah tampak kehebatannya sebagai seorang yang bijak pandai dalam agama. Pada umur 9 tahun, beliau sudah mampu menghafal Al-Quran. Pada umur 10 tahun pula, beliau sudah mampu menghafal kitab Al-Muwatta' karangan Imam Malik. Pada umur 15 tahun, beliau sudah mengajar dan mampu memberi fatwa di Masjidil Haram. Walaupun begitu, cintanya kepada ilmu membuatkannya mengembara ke serata tempat untuk berguru dengan tokoh-tokoh agama yang hebat. Antara gurunya ialah Imam Malik sendiri.
Kegigihannya belajar dan mengajar ilmu kepada masyarakat menyebabkannya menerima sanjungan yang tinggi. Anak muridnya bertebaran di seluruh bumi. Antara anak muridnya yang terkenal ialah Ahmad bin Hanbal atau lebih dikenali sebagai Imam Hanbali. Tidak hanya mengajar di masjid-masjid, beliau juga menulis buku-buku yang kebanyakkannya menjadi rujukan hingga ke hari ini. Sungguh besar sekali sumbangan beliau kepada agama Islam.
Buku ini mengisahkan liku-liku hidupnya didalam menuntut dan menyebarkan ilmu. Sebagai orang yang berpegang kepada mazhab Syafie, amatlah baik sekiranya kita mengenali imam kita dengan lebih dekat lagi malalui buku ini.
No Response to "Imam Syafie - Pejuang Kebenaran"
Post a Comment