Saturday, July 23, 2011

Aku dan Al Ikhwan Al Muslimun

0

Buku ini dikarang oleh seorang ulama kontemporari zaman ini, Prof. Dr. Yusur Al Qaradhawi. Asal naskahnya adalah dalam bahasa arab kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Buku yang berada dalam gambar di atas adalah terjemahan dari bahasa Melayu Indonesia ke bahasa Melayu Malaysia.

Buku ini mengisahkan pengalaman penulis sejak dari awal penglibatan beliau bersama Al Ikhwan Al Muslimun. Sejak dari muda lagi, beliau telah aktif dalam menjalankan dakwah bersama Al Ikhwan. Pada masa yang sama juga, beliau merupakan penuntut di Universiti Al Azhar menggambarkan pada kita bahawa berpolitik dan belajar pada masa yang sama adalah tidak mustahil. Dapat difahami dari buku ini bahawa Al Ikhwan telah membentuk sebahagian besar keperibadian beliau sebagai seorang Muslim yang baik. Ini dapat difahami apabila pertubuhan Al Ikwan ini dianggotai oleh pejuang-pejuang agama yang hidup mereka berjalan diatas sunnah Nabi SAW. Ilmu yang sama telah diterapkan ke dalam jemaah Ikhwan dan menegakkan syariat Islam adalah matlamat mereka yang tidak berbelah bahagi.

Seolah-olah telah menjadi seperti sebuah takdir apabila sebuah pertubuhan yang cuba memperjuangkan agama Islam pasti akan mendapat tentangan dari kerajaan yang memerintah, begitulah juga dengan apa yang terjadi diantara pemerintah Mesir dan Al Ikhwan. Penulis telah menceritakan peristiwa hitam jemaah Al Ikhwan termasuk dirinya sendiri apabila ditangkap oleh pemerintah dan diseksa dengan zalim sekali. Namun jemaah Al Ikhwan yang tidak pernah gentar pada makhluk melainkan pada Allah semata-mata telah menjadikan penjara sebagai tempat untuk meningkatkan iman mereka pada Allah. Mereka berusaha mengamalkan sunnah Nabi SAW walaupun dalam keadaan yang paling sukar.

Buku ini secara umumnya memberikan sedikit sebanyak idea berkenaan perjuangan dan matlamat Al Ikhwan. Pada masa yang sama juga, penulis juga menceritakan pengalaman berdakwah, melanjutkan pelajaran dan pengalaman ditangkap penguasa sepanjang penglibatannya bersama Al Ikhwan. Buku ini sarat dengan pengajaran yang diperolehi penulis sebagai orang yang pernah mengalaminya sendiri. Bagaimana apabila seorang manusia yang membawa dakwah Islam kepada masyarakat, maka cubaan dan dugaan yang hebat pasti akan ikut serta. Kebijaksanaan dan intelek penulis dapat kita rasai dari gaya penulisan yang berhikmah. Semoga Malaysia juga melahirkan ramai lagi ulama seperti Prof. Dr. Yusuf Al Qaradhawi. InsyaAllah

No Response to "Aku dan Al Ikhwan Al Muslimun"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...