Monday, September 17, 2012

Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu - Hasrizal Abdul Jamil

0

     Pada awal penulisan buku-buku Hasrizal Abdul Jamil, banyak menyentuh berkenaan isu muda-mudi yang bercinta, pra-perkahwinan dan kemudian pasca-perkahwinan itu sendiri. Dalam menyampaikan dakwah serta nasihat dalam membina kehidupan keluarga yang bahagia, beliau juga tidak terlepas dari menerima kritikan dari pembaca yang langsung tidak berlandaskan fakta. Seringkali kritikan itu menyatakan bahawa perjalanan kehidupan Hasrizal Abdul Jamil ini adalah sempurna dari awalnya.

     Justeru Di Hamparan Shamrock KuSeru Nama-Mu ini, memuatkan suka-duka perjalanan kehidupan penulis sepanjang berada di London, Belfast, Galway dan seluruh pelusuk United Kingdom. Biasiswa pngajian yang digantung semasa di Jordan kerana fitnah telah benar-benar memberi kesan kepada kewangan penulis sehingga memamaksanya untuk berhjrah ke London. Di London, penulis bekerja sebagai pencuci pinggan di Malaysian Hall Canteen, London dimana penulis bertemu dengan berbagai ragam orang-orang Malaysia dan pelajarnya di sana. Cabaran dakwah di London menjadi lebih rumit dengan kehadiran fahaman syiah dikalangan pelajar-pelajar Malaysia.

     Selain itu, penulis juga mencatatkan kehidupan beliau di dalam penjara HM Prison, Greenock kerana berada di London melebihi tempoh yang dibenarkan. Kehidupan di penjara itu telah memberikan ruang untuk penulis merenung dirinya sendiri sedalam-dalamnya.

     Rentetan penulis diteruskan dengan catatan kehidupannya sebagai Imam dan President Belfast Islamic Centre. Walaupun Islam adalah minoriti di Belfast namun mazhab, cara pemikiran dan latar belakang penganutnya adalah pelbagai. Pertimbangan untuk mencari jalan tengah didalam mengimbangi semua cabang pemikiran ini demi dakwah Islam telah menemukan beliau dengan pelbagai cabaran baru pula. Banyak sekali pengalaman yang dikutip di Belfast yang dikongsi bersama pembaca. Seperti juga kebanyakkan manusia yang lain, penulis juga pastinya tidak akan terlepas daripada peraturan sebuah kehidupan yang akan menguji manusia dengan keresahan dan kepayahan.

     Pengalaman-pengalaman yang banyak dan berguna ini banyak dikongsi oleh penulis bersama pembaca didalam buku-buku tulisannya. Pengalaman kehidupan yang lalu telah membentuk jatidiri beliau sebagai pendakwah yang disegani. Dakwah Islam menjadi semakin kuat dengan adanya bentuk dakwah yang kreatif seperti apa dipraktikkan oleh Ustaz Hasrizal ini. Hasilnya golongan muda-mudi menjadi cenderung untuk mendekati Islam itu sejak dari awal lagi. Syabas Ustaz Hasrizal.
   



             

No Response to "Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu - Hasrizal Abdul Jamil"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...