Friday, October 12, 2012

Anakku Brain Tumor - Isyah Radhiah Idris

0


     Penghasilan buku ini tercetus hasil daripada pengalaman sebenar penulis yang berhadapan dengan dugaan getir apabila anak ketiganya disahkan memiliki tumour otak yang boleh membawa maut. Peristiwa ini baru sahaja berlaku iaitu pada pertengahan tahun 2010. Penulis adalah isteri kepada penyanyi kumpulan nasyid terkenal tanahair iaitu Che Amran "Raihan". Seorang personaliti nasyid yang juga terkenal kerana senyumannya.

     Buku ini ditulis sebagai medium untuk berkongsi maklumat berkenaan dengan tumour otak. Bagaimana mengenalinya, simptom-simptomnya, cara perubatan hospital, cara perubatan alternatif dan kebaikan menjaga makanan yang halal dan baik sejak dari awal usia. Satu perkongsian maklumat yang sangat berguna kepada sesiapa yang membacanya. 

    Buku ini ditulis dengan begitu terperinci sekali. Membacanya seolah-olah membaca sebuah diari kehidupan yang dibukukan. Kisah yang dikongsikan, mengungkap kembali detik-detik awal sebelum tumour otak itu dikesan dan tanda-tandanya. Kemudian, penulis berkongsi kemelut apabila terpaksa membuat pilihan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa anaknya dalam keadaan masa yang amat suntuk. Setiap saat yang terbuang, memberikan kesan kesihatan yang ketara kepada anaknya.

     Buku ini amat memberikan inspirasi kepada sesiapa yang membacanya. Walau siapa pun kita di muka bumi ini, kita pasti akan diuji oleh-Nya. Tidak ada kejayaan tanpa ujian. Setiap orang akan diuji sekadar kemampuan dirinya sendiri. Kitalah yang memilih sama ada untuk berjaya atau untuk gagal dalam ujian tersebut.

     Didalam buku ini juga sarat tercatat pelbagai amalan dan doa-doa yang dikongsi oleh penulis untuk pembaca secara tidak langsung, menjadi medium dakwah yang sangat berkesan. Terdapat juga gambar-gambar keluarga yang dilampirkan sebagai tambahan maklumat kepada pembaca. 

     Semoga kisah benar ini menjadi iktibar dan panduan kepada kita yang masih lagi dikurniakan nikmat kesihatan tubuh badan. InsyaAllah..
      

     

No Response to "Anakku Brain Tumor - Isyah Radhiah Idris"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...