Sunday, March 27, 2011

Abu Ubaidah - Penakluk Parsi

0
Beliau adalah Amir bin Abdillah bin Jarrah Al Fihry Al Quraisy atau lebih dikenali sebagai Abu Ubaidah Al Jarrah. Merupakan antara orang yang mula-mula memeluk Islam dan merupakan antara 10 sahabat Nabi yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT.

Kualitinya sebagai seorang sahabat yang mulia dapat kita selusuri daripada hadis Nabi sendiri yang maksudnya "Tiap-tiap umat ada orang yang memegang amanah dan pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah Al Jarrah". Oleh kerana itulah, beliau mendapat gelaran Pemegang Amanah Umat ini. Banyak sekali hadi-hadis Nabi diriwayatkan oleh Abu Ubaidah Al Jarrah. Pengorbanan beliau dalam Islam amatlah tinggi. Walaupun berusaha untuk mengelak daripada memerangai ayahnya sendiri di dalam Perang Uhud, beliau akhirnya terpaksa membunuh ayahnya kerana mempertahankan Islam. Allah telah mengubati kesedihan hati beliau apabila turun ayat Al-Quran yang bermaksud :

Engkau tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah mematri keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Akan menyenangi mereka, di pihak lain mereka pun senang dengan Allah. Mereka itulah perajurit Allah, ketahuilah bahwa perajurit Allah pasti akan berjaya.” (Al Mujadalah ayat 22)

Abu Ubaidah Al Jarrah mengikuti semua peperangan bersama Nabi. Pengalaman perangnya yang luas, telah diteruskan selepas kewafatan Nabi apabila berganding bahu dengan sahabat-sahabat lain seperti Khalid Al Walid, Muaz bin Jabal dan Amru Al-As dalam memerangi tentera Rom yang menguasai Baitulmuqaddis. Hal ini tidak lain hanyalah atas perintah Khalifah pada waktu itu iaitu Khalifah Umar Al Khattab. Khalifah Umar Al Khattab pula, hanyalah meneruskan rancangan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan Islam ke seluruh tanah Arab.

Pada ketika tentera Rom hanya bertahan di kubu terakhir di Baitulmuqaddis, tentera Islam telah nekad untuk mengepungi kubu tentera Rom walaupun pada waktu itu cuaca sangat sejuk dan menyukarkan. Paderi mereka menyarankan agar Rom menyerah kalah kerana kitab mereka telah meramalkan yang Baitulmuqaddis akan dibuka oleh seorang Arab. Tetapi perwatakan Abu Ubaidah tidak sama dengan ramalan mereka. Rupa-rupanya, orang yang dimaksudkan itu adalah Khalifah Umar Al-Khattab sendiri. Maka pergilah Saidina Umar Al-Khattab ke Baitulmuqaddis dari Madinah dengan memakai baju yang compang-camping dan hanya ditemani oleh pembantunya sahaja menaiki seekor unta. Mereka berdua bergilir-gilir menaiki unta tersebut. Kebetulan apabila sampai di Kota Baitulmuqaddis, giliran pembantunya pula menaiki unta. Paderi yang melihat kejadian itu akhirnya menyerah kalah kepada Islam kerana kejadian yang berlaku itu adalah serupa seperti apa yang tercatat dalam kitab mereka. Hinggakan jumlah tampalan pakaian juga adalah sama seperti ramalan.

Abu Ubaidah Al Jarrah dilantik menjadi pemimpin di Syam. Walaupun menjadi pemimpin, beliau memilih zuhud sebagai cara hidupnya hinggakan Saidina Umar Al Khattab sendiri menangis kerana melihat kehidupannya Abu Ubaidah yang sangat sederhana. Akhirnya pada satu ketika apabila negeri Syam dilanda wabak taun yang hebat, Abu Ubaidah Al Jarrah meninggal dunia kerana terkena jangkitan taun. Pernah Saidina Umar Al Khattab bercita-cita untuk melantik Abu Ubaidah sebagai Khalifah selepas dirinya namun Allah lebih mengetahui dan lebih hebat perancanganNya.

No Response to "Abu Ubaidah - Penakluk Parsi"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...