Friday, January 13, 2012

Selamat Tahun Baru 2012

0
     Rasanya, masih belum terlambat untuk aku ucapkan selamat tahun baru 2012. Bagi sesetengah orang, setiap tahun baru adalah istimewa berdasarkan alasan yang tersendiri. Macam-macam persepsi. Terpulanglah.

     Apa harapan aku untuk tahun 2012 nie? Aku berharap agar Malaysia menjadi pusat pengembangan Islam di dunia ini. Semoga cara hidup Islam ini dapat di aplikasikan semaksimanya dan bermula di Malaysia. Bukan hanya setakat kepada perkara ritual sahaja tetapi lebih daripada itu. Imam-imam kepada mazhab-mazhab yang kita pegangi sekarang ini tidaklah hanya membincangkan masalah ritual semata-mata dalam kitab-kitab mereka. Mereka membicarakan tentang cara hidup Islam keseluruhannya. Jikalau kita beranggapan bahawa Islam hari ini hanyalah solat, zakat dan haji sahaja, maka kita secara tidak langsung telah mempersendakan usaha mujtahidin ini. Panduan telah pun tersedia namun kita masih lagi belum mengikuti sepenuhnya.

     Adalah tidak adil untuk mengatakan yang sistem perundangan Islam tidak sesuai dengan faktor negara Malaysia yang berbilang kaum. Bagaimana mungkin kita dapat menilai sesuatu perkara sedangkan kita tidak pernah pun memberikan peluang kepada perkara tersebut untuk berkuatkuasa walau sekalipun? Lalu, bagaimana kita boleh mengatakan yang ianya tidak sesuai diamalkan? Amat malang lagi jikalau penentangan ini hadir dari kalangan orang Islam sendiri.

     Kita mengharapkan agar budaya hedonisme yang semakin banyak dalam negara kita dapat dikurangkan. Bukannya salah untuk berhibur asalkan ada batasannya, namun salah laku selalu hadir seiring dengan hiburan menyebabkan hiburan menjadi sesuatu yang negatif terutamanya di Malaysia. Belum pun sempat kita melupakan 2011 pergi, Mentor musim baru telah pun diwar-warkan dalam tv. Padahal, program sebegini tak lain hanyalah program yang syok sendiri sahaja. Pemenangnya merasakan bahawa mereka telah berjaya, walhal mereka sebenarnya jauh dari kejayaan yang hakiki.

     Kita sepatutnya memberikan sokongan kepada program-program yang melahirkan ikon Islam remaja seperti program Imam Muda. Program sebegini sebenarnya melahirkan ikon-ikon yang menyumbang kepada masyarakat. Sebagai masyarakat, kita boleh menimba ilmu daripada peserta dan pemenang program sebegini. Apakah ilmu akhirat yang kita akan dapat dari program akademi fantasia berbanding program Imam Muda? Sungguh jauh perbezaannya.

    Mungkin kita perlu lebihkan tumpuan pada pembinaan kumpulan nasyid pula tahun ini. Ini sebagai satu program sokongan untuk radio IKIM yang kekurangan sumber lagu-lagu nasyid yang bermutu untuk diputarkan. Setidak-tidaknya, ada jugak siaran radio yang menjalankan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat melalui medium elektronik.

     Sistem kehidupan kita sebenarnya banyak meminjam sistem kehidupan dari barat. Secara tidak sedar, kita juga memisahkan agama dari kehidupan. Kita perlukan anjakan dari pemikiran yang mundur ini. Kita perlukan cendiakawan yang dapat menghubungkan kembali cabang-cabang ilmu ini dengan agama Islam. Kita di Malaysia mempunyai sumber dan kepakaran. Mungkin kita mampu mencipta syllabus kita sendiri di masa hadapan. Pada waktu itu, segala yang menjadi teka-teki dalam ilmu sains mungkin akan terjawab dengan mudahnya. Insya Allah.


     Itulah kot harapan aku. Aku ingin memperolehi PhD suatu hari nanti, tapi aku kurang selesa dengan panggilan Philosophy Doctor. Ini kerana kalau kita selidiki maksud Philosophy itu sendiri, sebenarnya kecintaan pada ilmu tapi tak berkaitan langsung dengan agama Islam. Makanya, ilmu itu terpisah secara maknawi dan memang itulah yang berlaku. Kita harus ada modul yang berlainan, yang dapat membezakan Islam dan bukan Islam. Complicated nya aku....

No Response to "Selamat Tahun Baru 2012"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...