Tuesday, April 17, 2012

Bercinta Sampai Ke Syurga-Hasrizal Abd Jamil

0

     Buku ini adalah kesinambungan daripada buku yang berjudul "Aku Terima Nikahnya" yang merupakan buku motivasi popular yang menjulang nama penulisnya hingga terkenal. Nama Ustaz Hasrizal bukanlah nama yang asing lagi di Malaysia bahkan beliau sangat dikenali melalui blognya saifulislam.com.

     Sesuai dengan kesinambungannya daripada buku yang pertaman, buku "Bercinta Sampai Ke Syurga" ini banyak berkisar kepada perbincangan mengenai hal berumahtangga. Buku ini bermotifkan motivasi, namun dalam pada masa yang sama cuba menyedarkan kita agar berfikir secara matang dalam mengharungi kehidupan berumahtangga. Soalan-soalan yang diajukan dalam beberapa bab-bab tertentu mampu membuatkan kita terfikir sejenak mengenai diri kita dan keluarga kita. Kita membaca, berfikir dan menyelami diri kita sendiri. Semuanya dilakukan semasa kita membaca buku ini.

     Ustaz Hasrizal lebih mudah untuk menjadikan keluarga beliau sendiri sebagai contoh yang hampir kepada realiti. Hakikat yang beliau juga adalah manusia biasa, mempunyai kerjaya dan mempunyai masalah tersendiri telah pun dikongsi bersama rakan pembaca untuk memberikan kefahaman yang lebih diatas apa yang dibincangkan. Secara tidak langsung, memberitahu kepada kita bahawa pengalaman yang beliau kongsikan itulah sebenarnya yang membentuk siapa beliau pada hari ini. Pengalaman berharga yang dikongsi bersama pembaca.

     Buku ini sangat sesuai untuk segenap lapisan masyrakat kerana bahasanya yang mudah dan isinya yang relevan dengan setiap orang yang mempunyai keluarga. Pembaca yang tidak memiliki buku yang pertama iaitu "Aku Terima Nikahnya" tidak mempunyai masalah untuk membaca buku "Bercinta Sampai Ke Syurga" ini. Bahkan, buku pertama adalah  merujuk kepada perkara yang menyediakan kehidupan keluarga yang barakah, dan buku yang kedua ini adalah mengenai perbincangan mempertahankan barakah itu hingga ke syurga.

     Semoga Ustaz Hasrizal terus-terusan berdakwah dengan cara yang unik ini. Kita memerlukan bimbingan dari bijak pandai agama dalam segala hal termasuklah hal bercinta sesama manusia. Warna-warni dunia dakwah kini semakin berseri dengan cara dakwah yang segar dan berinovasi. Allah jua yang membalas pengorbanan Ustaz dalam setiap perkara yang dilakukan.
 

No Response to "Bercinta Sampai Ke Syurga-Hasrizal Abd Jamil"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...