Saturday, February 12, 2011

Imam Maliki - Pengarang Kebenaran

0
Sebagaimana yang kita ketahui, mazhab Maliki adalah berasal dari seorang imam terkemuka iaitu Imam Malik. Nama sebenar beliau ialah Malik bin Anas bin Abi ‘Amir bin Al-Haris. Beliau dilahirkan di Madinah pada tahun 95H /712M. Moyangnya, ‘Amir bin Al-Haris adalah seorang sahabat dan pernah berperang dengan Nabi Muhammad SAW. Datuknya pula, adalah merupakan golongan ulama tabi’in yang terkemuka.

Novel in menceritakan kisah benar tentang kehidupan Imam Malik dari kelahirannya sehinggalah wafatnya beliau. Gaya penulisan Abdul Latip Talib memang sangat terserlah dalam novel ini. Mudah dan senang difahami.

Imam Malik merupakan seorang yang sangat pintar dalam bidang ilmu. Beliau juga mempunyai daya ingatan yang sangat kuat. Ini terbukti apabila beliau mampu menghafal sehingga 100,000 hadis selain dari menghafal Al-Quran dengan baik. Tidak hairanlah beliau menjadi rujukan berbagai ulama pada ketika itu dalam bidang ilmu agama.

Imam Malik sangat sinonim dengan sebuah kitab yang masyur berjudul Kitab Al-Muwattok. Inisiatif untuk menulis kitab ini diambil apabila terlalu banyak pendapat dalam agama diamalkan diseluruh dunia pada ketika itu. Daripada 100,000 hadis yang dihafal, Imam Malik memperhalusi kesemuanya sehingga tinggal 10,000 hadis sahaja. Kemudian, dihalusi lagi sehingga menjadi 5,000 hadis. Daripada itu, Cuma 500 hadis sahaja yang dimuatkan dalam Kitab Al-Muwattok. Kitab ini dikenali sebagai kitab hadis yang membahaskan masalah feqah yang disepakati oleh para ulama semasa. Kitab ini masih diguna pakai sehingga ke hari ini.

Imam Maliki sangat mencintai Nabi Muhammad SAW. Kelas pengajiannya berlangsung berdekatan dengan makam Nabi di Masjid Nabawi. Setiap kali mengajarkan hadis Nabi, beliau akan menghormati hadis tersebut seolah-olah mendapatnya terus dari Nabi sendiri.

Imam Maliki juga tidak mahu memakai kasut di bumi Madinah kerana menghormati jasad Nabi yang bersemadi di Kota Madinah. Beliau juga tidak akan menaiki kuda melainkan setelah berada di luar Kota Madinah.

Imam Malik dikurniakan dengan umur yang panjang. Beliau hidup pada zaman sembilan orang khalifah Bani Umaiyah dan lima orang khalifah Bani Abasiyah. Sepanjang kehidupannya, beliau banyak melahirkan anak murid yang hebat-hebat. Antaranya adalah Imam Syafie. Sungguh, Islam kehilangan permata yang sangat bernilai apabila Imam Malik meninggal pada tahun 179H/796M pada usia 84 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

No Response to "Imam Maliki - Pengarang Kebenaran"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...