Sunday, February 5, 2012

Maulidur Rasul

0
     Baginda bagaikan Al-Quran yang berjalan. Padanya, terserlah segala keperibadian yang tinggi sebagai seorang insan. Diwaktu awal kenabiannya, baginda diancam oleh sebilangan besar penduduk Mekah. Hari ini, bukan sahaja baginda tidak mati, bahkan baginda hidup di mana-mana sahaja. Begitu ramai sekali orang yang cuba mencontohi baginda dalam kehidupan. Sunnah baginda subur dalam masyarakat yang mengimpikan kejayaan akhirat yang abadi. Baginda dicintai walaupun tidak bersua. Baginda dirindui dengan sepenuh jiwa. Pengikutnya, berada di mana-mana.

     Baginda pemimpin yang agung. Keagungannya hadir dari ketinggian akhlak dalam kehidupan sehari-hari. Matlamat baginda mudah, baginda mahu agar setiap insan mentaati perintah Allah serta tidak mempersekutukan-Nya. Tidak ada cinta dunia pada hati baginda. Tatkala kita mengagumi tingalan istana Raja Rom, istana Raja Parsi dan piramid Firaun yang dibina atas kehendak nafsu, kita sebaliknya tidak menjumpai apa-apa tinggalan istana baginda melainkan hanyalah kuburnya sahaja.Kubur yang asalnya berada di dalam rumahnya. Maka, apakah hujah musuh-musuh Islam apabila mengatakan yang Nabi Muhammad melakukan ini semua kerana harta dan kekayaan? Sungguh, mereka berdusta tanpa ada sandaran.

     Aku berbangga menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Aku berharap dapat mencontohi baginda dalam setiap aspek kehidupan ini. Ini disebabkan aku yakin bahawa itulah cara hidup yang akan mendapat keredhaan Allah SWT. Semoga kita semua belajar mengenali Nabi kita agar hidup ini tidak menjadi sia-sia. InsyaAllah.

Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawarah

No Response to "Maulidur Rasul"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...