Lama pulak rasanya tak menaip dalam blog nie. Sedikit kaku bila nak karang ayat-ayat untuk permulaan posting. Kebelakangan ini, laptop aku hanya digunakan untuk mencari-cari maklumat dalam internet sahaja. Memang ada niat nak update blog tapi niat jadi terhalang bila memikirkan banyak assignment sedang menanti giliran untuk disiapkan. Begitulah kalau kita memilih bekerja sambil belajar. Masa adalah sangat berharga.
Baru-baru ini aku disibukkan dengan hal-hal yang berkaitan dengan cukai. Proton telah pun melantik sebuah syarikat yang akan menguruskan hal-hal cukai pekerja Lotus yang pernah menetap lebih dari 182 hari di luar negara. Pening jugak bila terpaksa menyediakan dokumen sokongan yang tersimpan merata-rata tempat tuh. Kebiasaannya, penyata kewangan zakat, insuran dan pendapatan hanya akan dikeluarkan bila menghampiri bulan April. Urusan cukai aku pulak terpaksa diselesaikan seawal pertengahan bulan Febuari lagi. Makanya, urusan ini menjadi sedikit rumit berbanding kebiasaan. Takut jugak bila kawan-kawan yang pernah ada pengalaman dalam hal ini masih lagi sangkut dengan LHDN sampai puluhan ribu ringgit. Kalau boleh, aku tak mahu perkara itu berlaku pada diri aku. Makanya, terpaksalah aku akur dengan segala arahan dari Delloitte (syarikat yang dilantik Proton) biar sesusah mana sekalipun.
Boleh dikatakan agak serabut jugak la urusan cukai nie. Tambahan pulak bila melibatkan cukai antara 2 negara.. Bila banyak benefit dari syarikat, maka banyaklah pula ruang-ruang dalam borang cukai itu menjadi berkenaan dan perlu diisikan. Setiap yang diisi pula, kena ada dokumen sokongan sebagai bukti sahih untuk menyokong kenyataan. Kadang-kadang, kita tak paham dan jadi keliru dengan ayat-ayat yang digunakan dalam borang cukai. Berulang-ulang kali baca sebelum boleh faham dengan jelas maksudnya. Walaupun sukar, tapi kena jugak aku lalui. Kalau tidak, takut tak selesai segala urusan pada waktunya.
Kalau difikirkan semula, itu baru melibatkan perbelanjaan selama setahun sahaja. Perbelanjaan setahun di atas dunia. Itu pun dah pening kepala dan serabut berbagai. Padahal bukanlah banyak sangat pun berbanding syarikat antarabangsa yang lain. Tapi disebabkan urusan ini penting, perkara setahun itu bagaikan perkara 10 tahun. Banyak sangat benda yang perlu diuruskan.
Bila difikirkan semula, agak-agaknya bagaimana keadaan di akhirat kelak bila kita "berurusan" dengan Allah tentang harta-benda yang diamanahkan kepada kita? Bagaimana la bentuk pertanyaan Allah di akhirat nanti. Segala harta yang telah dipinjamkan kepada kita di dunia ini , akan disoal satu persatu oleh Allah tanpa ada kurang sedikit pun. Jikalau hal cukai pendapatan setahun atas dunia pun kita boleh pening, bayangkanlah setiap perkara yang dipinjamkan Allah sejak dari kita hidup hinggalah hari kematian, akan disoal oleh-Nya dengan terperinci sekali.
Sebab itu orang yang miskin, perbicaraannya menjadi singkat sebab hartanya tidak banyak untuk dipersoalkan. Secara relatifnya, orang miskin akan kurang masalah berbanding orang yang banyak harta sama ada di dunia ataupun akhirat kelak. Kurang masalah dan soal bicara bila berdepan dengan Hakim yang Maha Adil.
Hakikatnya, kita sebagai insan perlu takut. Takut dan prihatin dengan amanah Allah yang datang dalam bentuk harta yang banyak. Takut kalau-kalau dengan sebab harta yang banyak, diri jadi lalai dan alpa. Bukanlah mencari harta itu salah bahkan bohong jikalau kita katakan yang kita tak tertarik pada kesenangan dan kekayaan harta. Memang perkara itu fitrah. Banyak orang mahukan kekayaan. Tapi, seperti yang kita sedia maklum "semut pun boleh mati disebabkan gula".
Itulah al-kisahnya hal cukai untuk aku bagi tahun ini. Semoga aku dapat kekayaan yang boleh mendekatkan diri aku kepada Maha Pencipta. Bukannya kekayaan yang membuatkan aku semakin hanyut dan jauh.
How to Have a Productive Day Working from Home
4 years ago