Monday, April 29, 2013

Makkah Al Mukarramah

1
     Mana-mana umat Islam yang baru pertama kali tiba di Masjidil Haram ini, hatinya pasti akan tersentuh lalu menjadi sayu dan sebak. Tersentuh bukanlah kerana binaan masjid yang sangat besar dan indah. Bukan juga kerana lautan manusia yang memenuhi segenap ruang Masjidil Haram. Tapi hati tersentuh kerana terasa kebesaran Allah dan terlalu bersyukur dijemput menjadi tetamu-Nya.

Inilah gambar Masjidil Haram yang pertama sekali aku ambil

     Kami sampai ke Mekah lebih kurang jam 11 malam. Selepas selesai urusan hotel dan beg-beg telah pun disimpan, kami semua bergerak ke Masjidil Haram yang kurang dari 300meter dari hotel. Kawasan Masjidil Haram ini adalah kawasan yang paling rendah sekali di Mekah. Di sekeliling Masjidil Haram pula, banyak hotel yang tinggi-tinggi tumbuh bagai cendawan selepas hujan memenuhi kawasan sekitar masjid. Daripada jauh ataupun sepanjang perjalanan, memang kita tidak akan nampak Masjidil Haram secara jelas. Kalau kita ke Masjid Besi umpamanya, kita akan dapat lihat Masjid Besi itu satu figure yang sangat dominan dari jauh berbanding benda-benda lain tapi apa yang aku perhatikan Masjidil Haram tidak begitu. Berjalan kaki dari hotel pun aku masih mencari-cari dimana Masjidil Haram. Sehinggalah diselekoh yang terakhir dari Hotel, maka nampaklah cahaya lampu yang terang-bendarang dan menara masjid yang aku kenal selama ini. MasyaAllah, sungguh hebat perangcangan-Mu.

     Kemudian, hati berdebar-debar apabila melangkah masuk ke dalam Masjid. Mata mula meliar mencari-cari Kaabah yang selama ini menjadi kiblat untuk seluruh umat Islam. Di balik tiang-tiang yang banyak itu, akhirnya nampak kelibat warna hitam yang dicari-cari. Sehinggalah pada sudut yang betul, Kaabah itu akhirnya berdiri di hadapan kedua mata ini. Aku terpegun seketika. Dunia jadi sepi dan aku tak dengar apa-apa bunyi pun pada ketika itu. Ada perasaan manis dan sayu menyelubungi hati. Semoga perasaan manis itu terus kekal dalam hati aku selama sisa-sisa hidup aku yang berbaki. Memang benarlah, Allah Maha Besar.

     Perlahan-lahan suara orang ramai mulai memenuhi gegendang telinga aku. Rupa-rupanya, mutawwif sedang membacakan doa pertama kali melihat Kaabah. Sembahyang sunat 2 rakaat malam itu terasa sangat bermakna sekali. Mata tidak lagi mahu melihat tempat sujud seperti kebiasaan. Hanya tertumpu pada Kaabah yang jelas di depan mata. Sungguh indah.

     Kemudian kami pun mengerjakan tawaf umrah 7 pusingan bermula dari penjuru Hajarul Aswad.

Gambar diambil setelah selesai solat sunat tawaf.

Kenang-kenangan kami berdua di tempat yang sangat berkah. Syukur kerana isteri 
dapat menemani perjalanan rohani ini.

     Untuk menghabiskan tawaf sebanyak 7 pusingan pada malam itu agak mudah kerana tak ramai orang. Pusingan tawaf kami menjadi kecil dan kami dapat hampir ke Maqam Ibrahim.  Kalau tak silap, dalam 30 minit ke 45 minit, kami telah pun selesai melakukan tawaf. Walaupun hati meronta-ronta ingin menyentuh Kaabah, ditambah pula baru pertama kali ke sini, tapi terpaksa dipendamkan kerana tidak mahu terbatal tawaf. Diwaktu yang lain, pasti kami akan menyentuhnya. InsyaAllah.

     Kemudian, kami meneruskan pekerjaan umrah ini dengan menunaikan ibadah Sai'e dari Bukit Safa ke Bukit Marwah. Pekerjaan Sai'e ini memang sedikit jauh berbanding dengan tawaf tapi Sai'e lebih mudah kerana tidak memerlukan kepada wudhu' dan kita bebas untuk bercakap-cakap ataupun berehat-rehat. Lebih kurang macam bersiar-siar dari bukit ke bukit la umpamanya.

Kawasan Sai'e

     Kami banyak berhenti rehat dalam ibadah Sai'e. Wife aku banyak berhenti duduk dan aku jugak banyak berhenti minum air zamzam. Rasa segar badan dapat minum air zamzam yang memang tersedia di mana-mana sahaja dalam Masjidil Haram. Akhirnya, ibadah umrah yang wajib untuk kami ini selesai dalam jam 3 pagi. Kami tidak balik ke hotel kerana waktu Subuh sudah hampir. Kami beriktikaf di masjid sahaja. Menjelang Subuh, makin ramai manusia memasuki Masjidil Haram ini. Kawasan dataran tawaf bagaikan tidak ada tempat yang tidak ada orang. Kalau baling sebutir batu, mesti akan kena kepala sesiapa. Sungguh hebat percangan-Nya. Hati-hati manusia memang mencintai rumah ini. Bersyukurlah kerana aku dan isteri dapat menunaikan Subuh berjemaah di masjid ini.

Dari  Jabir Radhiallahu Anhu ; bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Satu sembahyang di masjidku lebih afdhal daripada 1 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain."





1 Response to Makkah Al Mukarramah

May 8, 2013 at 9:02 AM

inshaAllah ada rezeki kita dtg lagi. ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...