Apabila kita hanya dibenarkan memiliki seorang anak sahaja, pastinya kita akan memberikan yang terbaik dan mahukan yang terbaik untuk anak kita itu. Satu kelebihan yang tidak akan dimiliki oleh anak yang lahir dalam keluarga yang ramai. Jikalau bimbingannya betul, anak tadi akan membesar sebagai orang yang sangat berkeyakinan tinggi dan mampu memberikan yang yang terbaik untuk negara. Tetapi, jikalau tersalah bimbingan...kita mungkin akan nampak ciri-ciri "anakku Sazali" dalam diri anak tersebut. Terlalu dimanjakan sejak kecil dan akhirnya hanyut dalam dunianya sendiri. Jauh dari realiti.
Sepanjang aku bekerja di Jinhua ini, ada satu perkara yang menyebabkan aku tertanya-tanya pada diri aku sendiri. "Kenapa orang-orang China ini tidak mahu menerima pandangan orang lain?' Dalam erti kata lainnya "kenapa mereka nak jugak menang dalam semua perkara?"
Soalan ini pada mulanya hanya muncul dalam kepala aku apabila kami menghadiri mesyuarat bersama-sama orang tempatan. Sangat susah untuk menyelesaikan sesuatu masalah apabila ada pihak yang tidak mahu bertolak-ansur dalam membuat keputusan. Hanya mereka sahaja yang betul dan hanya pendapat mereka sahaja harus diikuti.
Namun ini adalah sikap yang biasa di China. Contohnya, seorang anak lelaki yang berumur 21 tahun mengugut untuk membunuh diri jika ayahnya gagal membelikannya sebuah kereta. Ini kerana keluarga tunangya meletakkan syarat bahawa dia perlu ada sebuah kereta sebelum berkahwin. Di tempat yang lain pula, seorang gadis yang bakal melanjutkan pelajaran ke univeriti... menjerit-jerit ke muka ibunya di hadapan khalayak ramai kerana mahukan iPhone dan iPad kerana itulah trend pelajar universiti di China masa kini. Ibunya menangis kerana dimarahi anak sendiri. Ini hanyalah sebahagian sikap pentingkan diri yang dapat kita temui. Sikap keras kepala ini berlaku juga di jalanraya, di pasaraya, di tempat awam dan banyak lagi di tempat yang lain.
Kita mungkin boleh berkata bahawa itu adalah normal di China, ataupun kita juga boleh kata bahawa kita sahaja yang terasa sangat janggal kerana di Malaysia tak ramai orang sebegitu. Tapi aku yakin bahawa akhlak baik itu bersifat uiniversal dan bukan hanya bersifat setempat. Jikalau benar orang China sangat biasa dengan sikap keras kepala dan sangat biasa dengan suasana bertegang leher, jadi..kenapa si ibu tadi boleh menangis kerana diherdik oleh anaknya sendiri? Jikalau perkara itu biasa, si ibu pasti tahu cara untuk mengatasinya.
Dahulu, orang China sangat bangga jika keluarganya besar. Dalam satu rumah, ada banyak bilik yang mampu memuatkan banyak lagi keluarga terdekat di bawah satu bumbung. Penghormatan dan kesetiaan berlegar-legar disekitar ketua keluarga rumah tersebut. Kebiasaanya, ketua keluarga adalah si bapa. Semua perkara akan dirujuk kepada ketua keluarga dan diselesaikan secara bersama dan berhemah. Anak-anak dah ahli keluarga lain akan patuh dan taat pada perintah orang tua.
Hari ini terbalik. Seluruh keluarga memberikan tumpuan kepada yang paling kecil dalam keluarga. Atuk, nenek, ayah dan ibu semuanya memanjakan anak kecil yang baru lahir hinggalah ke usia dewasa mereka. Institusi keluarga menjadi celaru. Atuk dan nenek memanjakan anak....ayah dan ibu juga memanjakan anak. Cakap anak didengari dan dipatuhi. Segala kehendak anak akan dipenuhi kerana hanya inilah sahaja permata hati yang ada.
Hasilnya, negara China melahirkan generasi yang dikenali sebagai "little emperor". Anak-anak ini juga dikenali sebagai "strawberry kids". Satu perumpamaan yang memberi maksud, cantik diluar namun mungkin masam didalam dan sangat senang tercalar. Anak-anak ini mungkin mendapat pendidikan yang terbaik sepanjang hidup mereka tetapi hakikatnya, mereka hilang jatidiri. Mereka hampir tidak dapat berhadapan dengan realiti, mudah putus-asa, tidak pandai bersabar, terlalu yakin pada diri sendiri dan mementingkan diri sendiri. Banyak benar sandaran negatif yang ada bersama gelaran-gelaran ini.
Tapi, berlainan pula dengan kajian psychology walaupun tidak semua, telah menyatakan bahawa sifat-sifat negatif itu tidak ada kaitannya dengan isu satu anak. Entahlah..
Gambar dari www.china-mike.com
Antara masalah tersembunyi yang lain pula adalah masalah tenaga buruh di China. Kalau dahulu, rakyat yang banyak telah menyumbang kepada kos tenaga buruh yang amat rendah, sekarang ini mungkin tidak lagi. Generasi "little emperor" kini semakin demand dan mahukan upah yang banyak untuk bekerja. Ini ditambah pula dengan bilangan tenaga kerja muda yang dijangka akan berkurangan pada masa hadapan.
Anak-anak juga dijangka akan lebih tertekan apabila berkahwin nanti. Sara hidup ibubapa mereka hanya terbeban diatas bahu seorang anak. Apabila berkahwin, sara hidup ibubapa mertua pula akan terbeban ke bahu anak. Dengan kos hidup yang semakin meningkat, dijangka banyak lagi isu berantai lain yang akan timbul dikemudian hari.
Masalah ini telah pun mendapat perhatian kerajaan China dan langkah-langkah permulaan telah pun diambil seperti penyebaran cerita-cerita moral didalam tv tempatan untuk mendidik masyarakat. Namun, langkah untuk memansuhkan polisi satu anak masih belum menjadi pilihan lagi.
Aku melihat semua ini sebagai satu pengajaran untuk diri aku sendiri. Insan merancang dan Allah jua merancang. Namun, sebaik-baik perancang adalah Allah SWT. Kita mungkin merasa perancangan kitalah yang terbaik, tetapi akhirnya kita akan sedar juga bila tiba waktunya.
Melihat ke dalam diri aku sendiri, aku bersyukur memiliki anak yang ramai. Rasanya, jika aku hanya ada seorang anak, akulah yang paling memanjakan anak aku. Manja yang aku sangkakan madu tapi hakikatnya racun untuk anak-anak dimasa hadapan. Semoga anak-anak aku menjadi insan-insan yang mendapat petunjuk dari-Nya. Amin..