Friday, September 7, 2012

Rabbaniyyin Bukan Ramadaniyyin - Al Qaradhawiy

0

     Judul asal buku ini adalah Khutbah Asy Syeikh Yusuf Al-Qaradhawiy, Nafahat Al-Jumaat, Jadilah Rabbaniyyin Bukan Ramadaniyyin. Karya asalnya telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia oleh Muhammad Dzulhilman Bin Roslan.

     Menjadi perkara yang amat lazim bagi kebanyakkan umat Islam (termasuklah saya) apabila tibanya bulan Ramadan, kita berusaha melipat gandakan amalan kita. Solat berjemaahnya dijaga setiap waktu, Al-Quran dibaca sekerap yang mungkin, sedekah bertambah, solat sunat hampir setiap malam, qiamullail dan pelbagai lagi amalan akan cuba diusahakan sebanyak mungkin. Segala-galanya dilakukan untuk mengejar ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT didalam bulan yang berkat ini.

     Namun motivasi untuk beramal ini akhirnya berlalu pergi bersama perginya Ramadan pada saban tahun. Kebanyakkan kita (termasuklah saya) kembali menjadi seperti sediakala dan meninggalkan amalan yang diusahakan dalam bulan Ramadan. Sedangkan usaha kita untuk mencari redha Allah SWT adalah sepanjang masa, bukannya bermusim-musim seperti yang sedang berlaku sekarang ini. Jika kita hanya mengharapkan Ramadan untuk memburu pahala, maka jadilah kita Ramadaniyyin. Tapi kita sebenarnya dituntut untuk menjadi Rabbabniyyin, bukan Ramadaniyyin.

     Justeru, bagaimana kita boleh mengekalkan motivasi diri untuk terus istiqomah dengan amalan kita demi mencari redha-Nya.

     Inilah yang dibincang dan dibicarakan oleh Asy Syeikh Yusuf Al-Qaradhawiy didalam khutbahnya. Buku ini mencantumkan ajakan untuk berusaha melakukan amalan baik disepanjang bulan Ramadan. Soalan-soalan yang dilontarkan oleh Asy Syeikh Yusuf Al-Qaradawiy didalam khutbahnya cuba membangkitkan rasa kehambaan pada Allah SWT dan sekaligus cuba mendidik pembaca agar sentiasa mengharapkan keredhaan dari-Nya. Bersama-sama dengan berita gembira berkenaan pahala yang berlipat kali ganda, buku ini juga memperingatkan tentang hakikat ibadat kita yang terlalu sedikit berbanding dengan kemurahan-Nya. Kita selalu mengatakan didalam diri kita bahawa kita beribadat dengan banyak sekali padahal yang sebenarnya, Allah jualah yang Maha Pemurah dan Maha Pangampun diatas segala kekurangan dan kesombongan ibadat kita.

     Dalam buku ini juga, Asy Syeikh Yusuf Al-Qaradawiy mengingatkan kita tentang pentingnya untuk terus istiqomah dengan amalan kita seperti yang kita lakukan dalam bulan Ramadan. Inilah bentuk jihad dalam diri yang perlu diteruskan untuk menjamin kesinambungan iman yang tinggi kepada-Nya. Kita berusaha dengan sebaik mungkin dan kita juga berusaha menambahkan ilmu agar iman terus mantap. Namun jangan kita lupa untuk terus berdoa kepada-Nya agar melunakkan hati kita dalam usaha kita mencari redha-Nya. Kerana kita mahu menjadi Rabbaniyyin, bukannya Ramadaniyyin.

No Response to "Rabbaniyyin Bukan Ramadaniyyin - Al Qaradhawiy"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...