Friday, February 13, 2015

Perginya seorang murabbi

0
 
 


     Sungguh berat dugaan untuk rakyat Kelantan khususnya dan sebuah dugaan yang menyedihkan buat rakyat Malaysia amnya. Seorang ulama yang selama ini mengorbankan jiwa dan raganya untuk menegakkan agama Islam di Malaysia, telah dijemput oleh Ilahi pada tanggal 12 februari 2015 bersamaan.23 Jamadil Akhir 1436 jam 9.45 malam.
 
Waktu muda Tuan Guru. Gambar diambil di Mesir rasanya. Tuan Guru di tengah sekali

     Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz bin Nik Mat telah pergi selama-lamanya dari kita. Seorang ulama yang sebahagian besar perjuangannya cuba dipinggirkan oleh pihak berkuasa namun akhirnya mendapat liputan yang meluas pada hari kematiannya. Allahyarham yang tidak jemu-jemu menyampai dan mengajarkan ilmu agama ketika hidupnya, sehingga perginya juga menjadi ibrah pada semua yang menyaksikan urusan pengkebumiannya. Urusan jenazahnya yang mengikut sunnah, sangat memberikan iktibar kepada rakyat Malaysia yang banyak dipengaruhi oleh adat dan budaya.

     Allahyarham bukanlah maksum, namun kebanyakkan dari kehidupannya sangat memberikan kesan kerohanian kepada rakyat Malaysia. Tak kira kaum sama ada Melayu, Cina atau India, semuanya bersetuju bahawa Allahyarham adalah pemimpin yang menolak kepentingan dunia tetapi terlalu berusaha mencari keredhaan-Nya. Selama 23 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan, rumahnya hanyalah rumah kayu. Mendengar mutiara kata dari mulutnya ketika tahun-tahun akhir kehidupannya, sangatlah menyentuh hati dan menginsafkan. Rakyat Kelantan dan seluruh buminya sungguh bertuah. Bumi Malaysia juga bertuah kerana berpeluang mengenali Allahyarham.

     Sehingga entri ini ditulis, Malaysia sudah 3 minggu (05/03/2015) kehilangan tokoh yang berwibawa ini. Walaupun 3 minggu telah berlalu, masih terasa sebak dalam dada bila mengingati perginya Allahyarham. Kehilangan ini adalah sebuah kehilangan yang sangat besar pada agama dan pada sejarah pemikiran manusia. Kehilangan yang pastinya sukar dicari ganti. Berehatlah wahai murabbi. Sesungguhnya kami bersaksi bahawa engkau jua telah berjuang kerana agama ini. Allahuakbar.

No Response to "Perginya seorang murabbi"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...