Wednesday, August 8, 2012

Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna

1


     Buku Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna ini adalah buku Indonesia yang diterjemahkan semula ke dalam bahasa Malaysia. Penulis asalnya adalah Muhammad Lili Nur Aulia dan diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia oleh Rohayah Ismail.

     Ketokohan Imam Hassan Al-Banna dalam sejarah dakwah Islam moden telah berjaya mendirikan asas gerakan dakwah Islam yang terkenal iaitu al-Ikhwan al-Muslimin  yang akhirnya mengilhami gerakan dakwah Islam seluruh dunia. Pelbagai gelaran yang digunakan untuk menggambarkan ketokohan beliau antaranya adalah mujahid, murabbi, imam, as-syahid, da'i dan berbagai lagi, Sekaligus menggambarkan betapa dunia Islam benar-benar mengakui akan kebenaran dakwahnya.

     Dilahirkan pada tahun 1906 dan meninggal tahun 1949 pada usia 43 tahun, Hayatnya sangat singkat kerana hidup di dalam bumi Mesir yang sedang bergolak ketika itu. Syahid pada tahun 1949 akibat tembakan peluru, beliau telah meninggalkan gagasan dakwah Islam yang sangat mengagumkan. Diantara pelapis-pelapis hebat yang hadir dalam bacaan dan pengetahuan kita adalah pemikir dan ulama' besar Dr. Qaradhawy, Syed Qutb, Muhammad Qutb, Musytafa Mansyur, Dr. Said M.Ramadhan, Dr. Said Ramadhan al-Buthi, Said Hawwa, Abdullah Nasih "Ulwan, Dr. Mushtafa as-Siba'i dan ramai lagi. Daripada mereka, kita juga memperolehi ilmu berguna yang menjadi rujukan sepanjang zaman.

     Sungguh besar jasa Imam Hassan Al-Banna namun pengetahuan kita berkenaan diri beliau amatlah sedikit sekali. Buku ini cuba untuk mencungkil teladan dari rumah Imam Hassan Al-Banna sebagai ayah untuk dijadikan panduan kepada yang bekeluarga. Tanggungjawab yang digalas oleh penulis untuk mengingatkan kepada masyarakat bahawa tanggungjawab mendidik anak tidaklah hanya terletak dibahu ibu sahaja.

     Buku ini membawa idea yang sangat penting dalam mendidik keluarga. Bahawa tidak ada pemisahan antara mendidik keluarga dan dakwah. Imam Hassan Al-Banna yang meletakkan dasar pergerakkan dakwah moden telah memberikan contoh bahawa keluargalah orang yang paling hampir terkesan dengan nilai dakwah itu.

     Rujukan paling utama buku ini adalah anak-anak Imam Hassan Al-Banna sendiri. Disebabkan Imam Hassan Al-Banna meninggal dalam usia yang muda, menyebabkan penulis berhadapan dengan keterbatasan mendapatkan rujukan. Anak-anak Imam Hassan Al-Banna hanya sempat merasai nikmat kasih-sayang seorang bapa paling lama 15 tahun sahaja. Sehinggalah nyawa beliau direnggut dalam satu konspirasi yang berakhir dengan syahidnya beliau.

     Al-Mathurat adalah himpunan doa-doa Nabi yang disusun oleh Imam Hassan Al-Banna. Sehingga hari ini, ramai orang mengamalkan membaca al-mathurat kerana kebaikan doa-doa tersebut. Sungguh beruntung Imam Hassan Al-Banna kerana pahala beliau berterusan walaupun beliau telah lama meninggalkan kita semua. Semoga dengan memiliki buku ini, kita boleh mencontohi Imam Hassan Al-Banna dan akhirnya diharapakan kita mampu melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam semua perkara. InsyaAllah...

1 Response to Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna

January 5, 2017 at 7:25 PM

Salam. Boleh saya Tahu kat mana nak dapatkan buku Ni ye?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...