Sunday, January 6, 2013

Rumah kita

0
     Banyak sungguh kawasan perumahan baru yang tumbuh di kawasan berdekatan dengan Bandar Springhill nie. Yang paling ketara sekali adalah di sepanjang kawasan Felda Sendayan hinggalah ke kawasan Seremban 2. Berbagai-bagai rekabentuk rumah yang kreatif dan moden dapat kita lihat dari kawasan perumahan baru yang tumbuh nie. Sangat cantik dan mempersonakan.


     Kajian daripada beberapa pensyarah tempatan mendapati yang rekabentuk rumah yang ada di Malaysia sekarang ini tidak sesuai untuk diduduki oleh golongan tua. Contohnya, pemisah kawasan dari ruang tamu ke dapur yang ada step dan sesetengah rumah pula, pemisahnya adalah tangga. Hal ini akan menyebabkan kerusi roda sukar untuk bergerak. Bilik utama pula berada di tingkat atas. Apabila umur kita dalam lingkungan 50-an, menaiki tangga adalah satu kerja yang amat sukar sekali. Tandas bilik air tingkat bawah juga kebanyakkannya adalah tandas cangkung. Untuk golongan tua, disarankan agar menggunakan tandas duduk yang lebih mudah dan selesa.

     Kumpulan pensyarah ini menyarankan agar diwujudkan prosedur pembinaan rumah yang ergonomik untuk semua golongan terutama sekali golongan tua. Prosedur ini perlu dikuatkuasakan dan menjadi standard yang wajib dipatuhi oleh setiap pemaju. Kegagalan pemaju untuk mematuhi standard pembinaan ini akan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Ihsan dari blog tinggirendah



     Idea ini mendapat perhatian dari kementerian yang berkenaan. Namun, dokumen sokongan (supporting document) yang kuat perlu ada kerana ianya melibatkan penggubalan undang-undang baru dalam sektor pembinaan. Kementerian mencadangkan agar dilakukan survey ke atas golongan sasaran sebanyak yang mungkin.

     Apabila survey telah pun selesai dijalankan, keputusan yang diterima sungguh memeranjatkan. Peratusan besar responden (kebanyakkannya adalah orang tua) tidak mempunyai sebarang aduan serius ke atas rekabentuk rumah yang ada sekarang. Kebanyakkannya berpuas hati dengan apa yang ada dan mereka sangat bersyukur serta redha kerana mereka mempunyai bumbung yang memayungi mereka dari panas dan hujan. Tidak timbul langsung isu bilik tidur utama di tingkat atas, dapur dan ruang tamu ada step serta tandas cangkung atau duduk dalam perbincangan mereka.

     Akhirnya, kumpulan pensyarah tempatan ini gagal mendapatkan dokumen sokongan yang diperlukan oleh kementerian. Idea yang asalnya sangat baik, terpaksa diketepikan buat sementara waktu sehinggalah rakyat Malaysia mendapat pendedahan yang lebih mendalam tentang ergonomik. Untuk menjadikan idea ini satu kenyataan, kita mungkin perlu menunggu 10 atau 20 tahun lagi. Untuk sementara waktu, kita perlu lengkapkan muda-mudi hari ini dengan kepentingan ergonomik dalam kehidupan.

     Sekadar berkongsi maklumat....Sekian..    

No Response to "Rumah kita "

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...