Tuesday, June 9, 2015

Musa vs Firaun - Amanullah Halim

0


     Buku yang bertajuk Musa vs Firaun dikarang oleh saudara Amanullah Halim. Beliau adalah penulis kepada satu lagi buku berjudul Isa Putra Maryam dalam Injil dan Al-Quran.

     Buku ini, sebagaimana tajuknya mengulas tentang kisah Nabi Musa AS menentang Firaun yang zalim sebagaimana yang tercatat di dalam Al-Quran. Walaupun dikenali sebagai kisah (Al-Quran menyebutkan sebagai 'kisah' dan bukannya 'sirah' atau 'sejarah' dsb) bukanlah cerita-cerita kosong dan dusta. Bahkan, bukanlah kisah-kisah dalam Al-Quran ini bertujuan untuk menyalahi fakta-fakta sejarah. Kegagalan manusia untuk mengenalpasti perkara terperinci dari kisah-kisah Al-Quran ini adalah disebabkan kekurangan diri kita sendiri. Mungkin, perkara terperinci itu dapat dikenalpasti dimasa hadapan apabila lagi banyak teknologi moden yang mampu untuk merungkai persoalan-persoalan tersebut. Untuk setakat ini, kita beriman dengan kenyataan Al-Quran yang hak.

     Kisah Nabi Musa AS ini, banyak sekali terdapat dalam Al-Quran dan tercatat di dalam banyak surah. Berlainan dengan kisah Nabi Yusuf AS, peristiwanya hanya terdapat dalam satu surah sahaja iaitu Surah Yusuf. Antara sebab mengapa terjadi begini adalah ianya menjadi sumber motivasi kepada Nabi Muhammad SAW.

     Nabi Musa AS hidup lama dikalangan kaumnya dan memimpin mereka keluar dari negeri yang menzalimi mereka. Nabi Muhammad SAW juga memimpin kaumnya dan melarikan diri dari kaumnya yang zalim. Nabi Musa AS menghadapi kerenah yang pelbagai dari kaumnya dan begitu juga Nabi Muhammad SAW. Nabi Musa AS juga diperintahkan bersama kaumnya untuk berperang begitu juga dengan Nabi Muhammad SAW. Cuma lagi Nabi Musa AS tidak memerintah sebagaimana Nabi Muhammad SAW kerana kaum Nabi Musa AS menolak untuk berperang.

     Kembali semula kepada penerangan tentang buku ini. Berdasarkan kisah-kisah di dalam Al-Quran berkaitan Nabi Musa AS, rekod-rekod dari Old Testament (Perjanjian Lama) serta fakta-fakta sejarah, penulis merungkai perkara penting seperti siapakah yang dikenali sebagai Firaun, tokoh pembesar-pembesar yang dikaitkan dengan Firaun dan juga lokasi-lokasi perpindahan Bani Israel sepanjang mereka sesat di Semenanjung Sinai setelah mendurhakai Allah dengan enggan berperang.

     Buku ini ditulis dengan bahasa yang mudah. Sesuai untuk dibaca oleh orang seperti saya yang ada minat tentang sejarah dan Bani Israel. Buku ini secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada pembaca tentang rekod-rekod Old Testament dan juga fakta sejarah sebelu, semasa dan selepas peristiwa besar Nabi Musa AS dan Firaun.
     Ada banyak maklumat di dalam buku yang kecil ini. Terpulanglah pada pembaca untuk membina hubungkait dan analisis yang kritikal dengan menggunakan maklumat-maklumat tersebut. Tahniah kepada penulis kerana karyanya yang baik ini.  

No Response to "Musa vs Firaun - Amanullah Halim"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...