Sunday, November 14, 2010

Siri 100 Pejuang Syurga - Singa Siang Hari

0

Buku bertajuk Siri 100 Pahlawan Syurga Jilid 1 – Singa Siang Hari ini adalah terbitan Yamani Angle Sdn. Bhd. Sebuah syarikat penerbitan tempatan yang semakin menempa nama dalam menghasilkan buku-buku bacaan yang bermutu.

Buku ini adalah siri yang pertama dari tiga siri. Memuatkan 33 cerita berkenaan sahabat-sahabat nabi yang terpilih yang berpeluang hidup se-zaman dengan Nabi Muhammad SAW. Seringkali kita bertemu dengan kisah-kisah sejarah unggul sahabat yang terdiri dari kaum lelaki. Namun buku ini mempunyai tarikannya tersendiri kerana memuatkan cerita-cerita kaum wanita yang terbilang di zaman Nabi Muhammad SAW. Contohnya seperti sejarah isteri-isteri Nabi dan juga anak Baginda yang tercinta. Pendekatan Harun Arrasyid Haji Tuskan (penulis) ini haruslah dipuji kerana usaha sebegini bukanlah sesuatu yang mudah.

Setiap perwatakan didalam buku ini diceritakan dengan ringkas tetapi padat. Olahan ayat yang digunakan membuatkan pembaca seolah-olah dapat merasai semangat dan pemikiran watak. Setiap bab di dalam buku ini mewakili setiap watak. Justeru, amat mudah untuk membaca buku ini kerana setiap bab tidak mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain.

Buku ini amat sesuai untuk bacaan oleh semua lapisan masyarakat terutama sekali bagi mereka yang ingin mendalami Sirah Nabi. Ibubapa juga disarankan untuk memiliki buku ini supaya dapat dibaca oleh anak-anak.

Meniti kehidupan di penghujung zaman ini, anak-anak kita banyak disajikan dengan hero-hero dari siri tv. Karektor Ultraman terus-terusan hidup hingga melahirkan banyak lagi Ultraman. Sedangkan hero-hero rekaan ini hanyalah imaginasi manusia sahaja. Justeru, kehadiran buku pejuang Islam ini diharapkan dapat memberikan pedoman kepada kita dan anak-anak dalam mencari contoh teladan dalam kehidupan. Ini kerana, zaman dimasa kehidupan para sahabat Nabi terbukti adalah zaman kegemilangan Islam yang paling unggul sekali. Dunia tidak terkesan langsung pada mereka kerana ajaran Nabi Muhammad telah menyebabkan mereka mempunyai iman yang kukuh di dalam dada. Merekalah sebaik-baik hero yang patut kita jadikan ikutan dalam kehidupan. Insya Allah



P/S: baru ja sebulan beli buku nie tapi dah tak ingat letak kat mana. Ada bagi pinjam kat orang lain kot, tak pun tertinggal kat Poli Sabak Bernam. Sayang sungguh...

No Response to "Siri 100 Pejuang Syurga - Singa Siang Hari"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...