Tuesday, May 17, 2011

Terkenangkan Asma' binti Abu Bakar

1
Ada sebuah buku yang aku hadiahkan untuk isteri tercinta. Dalam pada itu, aku juga tak melepaskan peluang untuk membaca buku yang sama juga. Buku tersebut telah mengingatkan aku pada Asma' binti Abu Bakar.

Asma’ binti Abu Bakar adalah anak kepada sahabat Nabi Muhammad SAW yang terkenal iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Berusia 27 tahun pada ketika peristiwa hijrah dan 10 tahun lebih tua dari adiknya, Aisyah binti Abu Bakar.

Kalau kita masih ingat peristiwa hijrah ketika Nabi bersembunyi di Gua Tsur bersama Abu Bakar selama 3.hari... Asma’ ketika itu bertanggungjawab menyedia dan menghantar makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar selama mereka berada di Gua Tsur. Walaupun sedang mengandung, Asma’ gigih menjalankan amanah tersebut biarpun terpaksa bersusah payah dengan keadaan dirinya.

Asma’ binti Abu Bakar telah mengoyakkan talipinggangnya menjadi 2 bahagian. Satu digunakan untuk mengikat makanan dan satu lagi diikat kepada pinggangnya seperti selayaknya seorang wanita pada zaman dahulu. Kerana itulah Asma’ diberi julukan sebagai Dzatun Nithqain oleh Rasulullah yang bermaksud “Wanita yang mempunyai 2 talipinggang” . Rasulullah telah mendoakan agar talipinggang tersebut digantikan dengan yang lebih baik dan lebih indah di syurga kelak.

“…..Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik…..” (An-Nur ayat 26). Begitulah halnya dengan Asma’ apabila beliau dikahwinkan dengan Zubair bin Awwam (salah seorang 10 sahabat yang dijanjikan syurga). Zubair bin Awwan tidak mempunyai apa-apa harta melainkan seekor kuda. Kuda itulah yang digunakan sebagai mengambil upah untuk mengangkat air kepada sesiapa yang memerlukannya. Walaupun miskin namun Asma’ tetap sabar dan taat sebagai isteri. Asma’ juga pernah mengikuti suaminya dalam beberapa peperangan ketika Rasulullah masih hidup. Asma’ juga dikurniakan umur yang panjang nanmun suaminya Zubair bin Awwam terbunuh ketika Perang Jamal (yang melibatkan peperangan antara Saidina Ali dan Aisyah).

Perkahwinan kedua manusia yang mulia ini melahirkan cahaya mata yang mulia juga. Pasangan ini dikurniakan 2 orang anak lelaki yang menjadi pembela agama Islam dan sangat dikenali iaitu Abdullah bin Zubair dan Urwah bin Zubair. Abdullah bin Zubair sangat terkenal dengan keberaniannya dan ikut serta dalam peperangan menakluki Afrika, Andalusia dan Konstantinopel. Ketika banyak umat Islam menolak kekhalifahan Yazid bin Muawiyah dan seterusnya Malik bin Marwan, umat Islam di Mekah telah mengakui Abdullah bin Zubair menjadi khalifah di Mekah dan Madinah. Namun, akhirnya Abdullah bin Zubair telah dibunuh dan diperlakukan dengan kejam oleh orang-orang Khalifah Malik bin Marwan. Asma’ yang pada waktu itu berada di Mekah kerana menunaikan umrah telah bersedih hati di atas kejadian tersebut. Namun dia tetap sabar walaupun mayat anaknya diperlakukan dengan kejam oleh pembunuhnya.

Itulah cebisan hidup kakak ipar Nabi kita yang berliku-liku dan menyedihkan. Dia adalah anak kepada khalifah Islam yang pertama. Suaminya adalah antara 10 orang sahabat yang dijamin syurga ketika masih hidup lagi namun dibunuh oleh umat Islam sendiri dalam Perang Jamal. Anaknya Abdullah, adalah cucu Abu Bakar As-Siddiq dan merupakan orang yang berjasa dalam mengembangkan Islam ke seluruh dunia namun dibunuh dan mayatnya diperlakukan dengan kejam oleh Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi, seorang umat Islam juga. Umat Islam melupakan persaudaraan apabila berdepan dengan soal kuasa dan pangkat. Begitulah yang tercatat dalam sejarah sejak zaman berzaman. Itulah juga yang pernah terjadi, sedang terjadi dan akan terjadi. Bilakah kita akan menjadikannya sebagai iktibar?

Semoga isteri kita menjadkan insan mulia Asma’ binti Abu Bakar sebagai contoh dalam kehidupan mereka. InsyaAllah

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. bersabda : “Seorang wanita yang mengerjakan solat 5 waktu, berpuasa wajib sebulan, memelihara kemaluannya serta taat kepada suaminya maka pasti dia akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dikehendakinya. ” (HR Abu Nuaim)

1 Response to Terkenangkan Asma' binti Abu Bakar

June 11, 2011 at 9:59 AM

ape ye nama buku ni?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...