Khalifah AL-Musta'shim Billah tidak sanggup melihat apa yang berlaku di depan matanya. Mayat bergelimpangan di sepanjang jalan dan lorong-lorong di kota Baghdad. Darah mengalir di merata tempat. Orang Mongol bermaharajalela. Mereka membunuh setiap lelaki yang dijumpai dan memperkosa kaum wanita.
Tiba-tiba Khalifah Al-Musta'shim Billah ternampak Umaiyuddin Muhamad Al-Aqami lalu dihadapannya. Lalu beliau berkata,"Celaka kamu wahai anak Al-Aqami, Apakah yang kamu dapat daripada pengkhianatan yang kamu lakukan ini?"
Umaiyuddin Al-Aqami tidak menjawab. Beliau segera berlalu dari tempat itu. Khalifah Al-Musta'shim Billah pun berdoa.
"Wahai Tuhan, aku orang yang dizalimi. Doa orang yang kena zalim itu makbul. Aku bedoa supaya Umaiyuddin Muhamad Al-Aqami menerima pembalasan atas apa yang dilakukannya."
Novel sejarah Islam ini yang bertajuk Hulagu Khan - Khabar Hitam dari Timur ini ditulis oleh saudara Abdul Latip Talib. Novel ini menceritakan detik kejatuhan kerajaan bani Abasiyah akibat diserang oleh Hulagu Khan. Hulagu Khan yang berasal dari Mongol telah berusaha meneruskan cita-cita datuknya, Genghis Khan untuk menakluki dunia Islam.
Novel ini ditulis dengan gaya yang santai. Amat mudah untuk memahami jalan ceritanya. Menjadi satu kelaziman apabila buku sejarah seringkali dikaitkan dengan rasa bosan namun ada kelainan dari novel sejarah ini. Setiap plot diolah dengan bijaksana sehingga tidak timbul rasa bosan membacanya.
Novel dimulai dengan penerangan ringkas tentang kewujudan Bani Abasiyah dalam sejarah. Nama-nama Khalifah yang memerintah ditulis beserta tahun pemerintahannya sekali. Nama-nama tokoh yang lahir pada abad ini juga ada diceritakan secara ringkas.
Novel kemudiannya menyingkap latar belakang Hulagu Khan selaku watak utama novel ini. Seiring dengan itu, penerengan tentang perancangan menggulingkan Khalifah oleh menteri kanannya yang licik juga diceritakan secara tersusun. Kekuatan tentera Hulagu Khan seramai 200,000 orang dan pengkhianatan dari menteri kanan Khalifah telah menyumbang kepada kejatuhan Baghdad ke tangan orang Mongol.
Pada akhirnya, tentera Islam telah bersatu mengalahkan Mongol apabila mereka ingin menyerang Mesir. Dalam bicaranya Hulagu Khan mengakui, "Mekah dan Madinah dijaga oleh Tuhan mereka yang tidak boleh dikalahkan oleh sesiapa. Kerana itu, sesiapa yang cuba menakluknya pasti binasa."
Novel ini bukanlah rujukan sejarah Islam yang terbaik kerana tidak dapat dipastikan yang manakah fakta dan yang manakah tokok tambah dari saudara Abdul Latip Talib. Saudara Abdul Latip Talib juga hanya membuat rujukan dari 4 buah buku karangan orang Melayu sahaja. Namun, usaha beliau untuk melahirkan novel sejarah Islam yang menarik minat haruslah dipuji. Semoga kita sama-sama mendapat iktibar dari novel ini.
How to Have a Productive Day Working from Home
4 years ago
1 Response to Hulagu Khan - Khabar Hitam dari Timur
fuh! nice review :) lama dah tak baca buku citer...
Post a Comment