Friday, December 10, 2010

Muhammad SAW - Insan Teladan Sepanjang Zaman

0

Muhammad SAW – Insan Teladan Sepanjang Zaman. Buku ini ditulis oleh Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat. Isi buku ini adalah seindah kulit luarnya, cantik dan kemas.

Buku ini lebih banyak mengupas sejarah peperangan Nabi tercinta kita bermula dari Perang Khandaq hinggalah ke Perang Hunain. Selain dari menceritakan sejarah yang berlaku, Tuan Guru juga mengupas tentang tindakan yang diambil oleh Nabi kita dalam setiap perkara. Bagaimana akhirnya terjadi istinbat hukum yang membentuk ilmu-ilmu feqah yang menjadi garis panduan untuk kita menjalani kehidupan pada hari ini.

Contohnya dalam satu peristiwa apabila Nabi sendiri terluput solat Asar disebabkan kesibukan Perang Khandaq (Perang Ahzab) serta ancaman musuh. Namun baginda telah melakukan solat ganti (qadha) apabila ada peluang untuk melakukannya. Peristiwa ini telah menjadi asas ulama fiqh untuk istinbat hukum. Inilah dalil menunjukkan wajib qadha solat apabila tertinggal.

Itu adalah salah satu dari banyak contoh yang ada didalam buku ini. Banyak lagi peristiwa lain yang dikupas dengan baik oleh Tuan Guru sehingga kita memahami apakah yang dibincangkang oleh ulama’-ulama’ ketika membicarakan tentang hukum. Terasa manis apabila dapat meneguk sedikit ilmu dari Tuan Guru Nik Aziz.

Apabila kita membaca kupasan cerita mengenai Nabi Muhammad SAW, tentang kebijaksanaan keputusan yang diambil atau tentang kasih-sayang yang ditunjukkan kepada para sahabat…kupasan-kupasan ini membuatkan kita menjadi rindu bertemu dengan Nabi Muhammad SAW. Seorang manusia yang mulia yang pernah berjalan di atas muka bumi ini dan tidak ada lagi selepas ini. Allah mencatatkan di dalam Al-Quran:-

Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

Banyak perkara yang kita lalui hari ini sebenarnya telah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW malahan lebih sukar lagi. Cerita bagaimana pengkhiatan Yahudi, ancaman kafir Quraisy, kekurangan senjata untuk berperang…semuanya pernah dilalui oleh Nabi dan para sahabat. Apabila Nabi telah melalui semua itu dengan cara baginda sehingga terbit kejayaan, kenapa kita pada hari ini boleh menolak cara kehidupan Nabi dalam kehidupan kita? Bukankah Nabi telah berjaya sehingga tersebar Islam ke seluruh alam, jadi kenapa kita tidak mahu meniru jejak langkah orang yang berjaya? Sungguh, amat pelik apabila kita renung-renungkan manusia pada hari ini.

Wujudnya buku-buku seperti ini dapat memudahkan kita memahami berbagai ilmu pada satu-satu masa. Selain dapat mempelajari Sirah Nabi, kita dapat juga memahami serba sedikit tentang ilmu feqah secara tidak langsung. Sungguh tidak rugi apabila memiliki buku ini.

No Response to "Muhammad SAW - Insan Teladan Sepanjang Zaman"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...